25 Jan Penduduk Bandar Tun Razak terima pemeriksaan kesihatan percuma

KARNIVAL Kesihatan MADANI yang berlangsung di Bandar Tun Razak hari ini menawarkan inisiatif pemeriksaan kesihatan percuma bersempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Tahun 2025.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, karnival tersebut bertujuan membawa mesej kesedaran dan pengetahuan terhadap penjagaan dan saringan kesihatan serviks (pangkal rahim) wanita di samping sebagai tanda sokongan masyarakaf terhadap survivor kanser serviks.
“Saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) untuk mengesan penyakit ini di peringkat awal adalah sangat penting kerana jika dapat dikesan lebih awal, maka intervensi awal boleh dilakukan untuk mencegah komplikasi yang lebih serius dan kos yang tinggi dapat dikurangkan.
“Penyakit yang lambat dikesan akibatnya boleh menjadi sangat parah sehingga menyebabkan dan mengurangkan peluang untuk pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Kesihatan MADANI di IDB Cheras hari ini.
Tambah beliau, karnival tersebut merupakan kerjasama strategik yang diselaraskan oleh Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dengan beberapa agensi kerajaan dan juga badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin.
Ujarnya, beliau menyokong penuh kolaborasi strategik yang dijalankan antara pelbagai entiti, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan lain-lain dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat khususnya warga Bandar Tun Razak.
“Inisiatif ini harus dicontohi dan boleh dilaksanakan lebih kerap dalam usaha kita untuk menjadikan seluruh warga Bandar Tun Razak sebagai masyarakat yang sihat dan sejahtera serta mampu menyumbang dalam agenda negara, Membangun Malaysia MADANI.
“Dalam kesempatan ini, saya juga ingin menyeru agar lebih banyak program berteraskan perpaduan turut dilaksanakan di sini. Kita mahukan warga Bandar Tun Razak menjadi contoh masyarakat yang bertoleransi dan mampu hidup harmoni bersama dalam meraikan perbezaan yang ada,” katanya.
Karnival yang dianjurkan pada hari ini buat penduduk Bandar Tun Razak itu menawarkan saringan NCD, pemeriksaan kesihatan jantung, pemeriksaan kanser serviks serta mammogram selain kaunter menderma darah, kaunter pemeriksaan gigi dan kaunter rehabilitasi buat penduduk sekitar.
Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Datuk Dr Halimaton Hamdan; Pengerusi IJN Foundation, Toh Puan Datuk Seri Dr Aishah Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib.
Karnival tersebut merupakan anjuran Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Yayasan MyPrihatin dengan kerjasama Institut Jantung Negara, IJN Foundation, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Pusat Darah Negara, Bahagian Kesihatan Pergigian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Hospital Rehabilitasi Cheras.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyerahkan sumbangan Bakul Ihsan MADANI kepada 700 penerima golongan kurang berkemampuan sekitar Parlimen Bandar Tun Razak. – WILAYAHKU
