19 Jan Ride 4 Your Heart tarik penyertaan luar biasa !
Mohd Hilmie Hussin | Flash Sukan

LEBIH 1,500 peminat sukan berbasikal, mengambil bahagian dalam kempen kesihatan jantung dan kehidupan aktif menerusi kayuhan IJN-KHK LAND Ride 4 Your Heart 2025.
Acara yang berlangsung di Bukit Anyara, Semenyih itu, menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang dengan acara pelepasan seawal jam 7 pagi disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Penganjuran yang mendapat kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dan KHK LAND itu menampilkan tiga kategori kayuhan iaitu 115 kilometer (km), 60km dan Fun Ride sejauh 18km.
Laluan sejauh 115km mencabar peserta dengan bentuk muka bumi yang sukar melalui Banjaran Titiwangsa, Peres, Kuala Klawang, dan Broga.

Laluan 60km pula memenuhi keperluan peminat berbasikal, manakala Fun Ride sejauh 18km memberikan pengalaman santai untuk keluarga dan mereka yang mula meminati sukan berbasikal.
Amirudin gembira dengan penganjuran itu menyokong penuh acara yang menggalakkan kesihatan jantung dan gaya hidup yang lebih sihat.
“Program seperti ini sudah menjadi sebahagian aktiviti lazim bagi rakyat Malaysia terutamanya di Lembah Klang. Sebelum (pandemik) Covid-19, acara larian dan berbasikal adalah antara aktiviti yang sangat digemari oleh masyarakat pada hujung minggu.
“Hari ini, jumlah (peserta) yang menyertai aktiviti seperti ini hampir sama dengan keadaan sebelum Covid-19. Ini menunjukkan masyarakat sudah kembali kepada (kehidupan) seperti sebelum Covid-19,” katanya, pada sidang media selepas menyempurnakan acara pelepasan, hari ini.

Menurut beliau lagi, sukan berbasikal antara aktiviti pelancongan sukan yang akan diberi tumpuan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib mahu acara berbasikal seperti IJN·KHK LAND Ride 4 Your Heart dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya menjaga kesihatan terutamanya jantung.
“Dengan hampir 70 peratus kes penyakit jantung tidak didiagnosis awal sehingga terlambat, intervensi awal dan pemeriksaan berkala amat penting.
Atlet juga tidak boleh mengabaikan pemeriksaan jantung kerana aktiviti fizikal yang intensif boleh menyebabkan perubahan pada jantung yang memerlukan pemantauan profesional,” katanya.
Selain acara berbasikal, terdapat beberapa lagi aktiviti sampingan yang turut berlangsung, antaranya gerai permainan, persembahan pentas dan cabutan bertuah sebelum diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah bagi pemenang kategori 115km dan 60km.