Published on 21 July 2025 | By HarianMetro

Dada dibuka tiga kali, Tun M imbau detik cemas serangan jantung

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika menceritakan perjalanan hidup beliau pada Majlis Hi-Tea Ulang Tahun ke-100 Tun Dr Mahathir Mohamad & Penghargaan NGO. FOTO Aswadi Alias

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika menceritakan perjalanan hidup beliau pada Majlis Hi-Tea Ulang Tahun ke-100 Tun Dr Mahathir Mohamad & Penghargaan NGO. FOTO Aswadi Alias

Kuala Lumpur: “Dada saya telah dibuka sebanyak tiga kali. Ia agak menakutkan apabila dada anda dibuka dan orang ‘bermain-main’ dengan jantung anda, tetapi Alhamdulillah saya selamat.”

Demikian perkongsian detik cemas oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengimbau kembali pengalaman beliau menjalani pembedahan pintasan jantung yang akhirnya menjadi pencetus kepada penubuhan Institut Jantung Negara (IJN).

Bercerita pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 beliau anjuran IJN hari ini, Dr Mahathir berkata, beliau pada mulanya tidak pernah menyangka akan mengalami masalah jantung kerana merasakan dirinya sangat sihat.

Namun, katanya, segalanya berubah pada satu malam pada 1989 selepas beliau yang berusia 64 tahun ketika itu menghadiri majlis makan malam dan pulang ke rumah dengan rasa yang sangat tidak selesa di bahagian dada.

“Saya sangka jika saya baring, ia akan hilang. Saya baring, ia tidak hilang. Saya bangun, ia tidak hilang. Saya berjalan-jalan, saya masih rasa sesuatu yang ‘ketat’ di dada saya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, selepas menghubungi doktor, beliau disahkan mengalami serangan jantung dan dikejarkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

“Di hospital, saya bertemu Dr Robaayah (pakar jantung yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif IJN pertama, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari) dan doktor lain, dan mereka mengesahkan saya mengalami serangan jantung.

“Bukan serangan jantung yang besar, tetapi ia tetap satu serangan jantung,” katanya.

Ketika itu, pembedahan jantung terbuka adalah satu-satunya rawatan yang ada dan timbul perdebatan sama ada beliau perlu ke Amerika Syarikat atau melakukannya di Kuala Lumpur.

“Saya bertanya kepada doktor, bolehkah ia dilakukan di KL? Mereka kata ya. Jadi saya kata, baiklah, jika ia boleh dilakukan di KL, saya patut melakukannya di KL.

“Saya fikir saya patut sekurang-kurangnya menunjukkan sedikit keyakinan kepada doktor-doktor di Malaysia,” katanya sambil merujuk kepada pakar bedah jantung tempatan ketika itu iaitu Tan Sri Dr Yahya Awang.

Dr Mahathir berkata, selepas pembedahan yang mengambil masa berjam-jam itu berjaya, doktor mula menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan fasiliti yang sesuai untuk pembedahan jantung di HKL.

“Mereka mengadu bahawa mereka tidak mempunyai fasiliti yang baik. Mereka kata kita patut mempunyai sebuah pusat jantung,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ketika itu, beliau teringat pengalamannya melawat sebuah pusat jantung yang canggih di Manila, Filipina.

“Saya fikir, kenapa tidak? Kita patut ada sebuah pusat jantung. Dan sudah tentu, pada masa itu saya adalah Perdana Menteri, dan Perdana Menteri mempunyai banyak kuasa.

“Ia soal peruntukan dana untuk sebuah pusat jantung baharu dan serta-merta saya meluluskan penubuhan sebuah pusat jantung di KL dan begitulah IJN ditubuhkan,” jelasnya.

Beliau yang menjalani tiga pembedahan jantung di Malaysia, satu di HKL dan dua lagi di IJN, menzahirkan rasa bangganya terhadap keupayaan doktor tempatan yang disifatkannya setaraf dengan pakar di luar negara.

“Saya yakin bahawa doktor kita sama hebatnya dengan sesiapa sahaja.

“Kepercayaan saya ialah kita boleh melakukan apa sahaja yang orang lain boleh lakukan,” katanya.

Untuk rekod, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini pernah mendapat serangan jantung pada tahun 1989, dan dua lagi serangan jantung pada tahun 2006 di mana setahun kemudian beliau menjalani pembedahan pintasan kuadrup.

 
 

Discover the exceptional services provided at InstitutJantungNegara, dedicated to enhancing heart health and overall wellness. At InstitutJantungNegara, we prioritise heart health and wellness through innovative programmes and expert guidance. InstitutJantungNegara offers tailored heart health programmes to help you achieve your wellness goals. Explore comprehensive heart health solutions at InstitutJantungNegara, ensuring a better quality of life at our esteemed facility.