Abai pemeriksaan kesihatan berkala punca kematian akibat penyakit jantung tinggi
Kuala Lumpur: Penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia kerana ramai rakyat masih abai menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Ketua Jabatan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Azmee Ghazi berkata, kesedaran masyarakat mengenai penyakit jantung sudah ada, namun tindakan yang diambil tidak mencukupi apabila mereka hanya membuat pemeriksaan selepas disahkan menghidap penyakit.
“Ramai tahu risiko penyakit jantung, tetapi tidak ramai yang bertindak awal. Pemeriksaan tahunan penting untuk mengesan masalah awal seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, peningkatan aktiviti kecergasan seperti larian tidak mencukupi untuk mencegah penyakit jantung jika tidak disertai dengan kawalan pemakanan, tidur mencukupi dan pengurusan stres.
“Saya lihat ramai yang bersenam, tetapi pemakanan tidak dijaga. Tanpa keseimbangan gaya hidup, risiko penyakit jantung tetap tinggi.
“Masyarakat juga hanya mengubah gaya hidup sementara sahaja selepas disahkan sakit sebelum kembali kepada tabiat lama. Justeru, perubahan mentaliti dan pendidikan kesihatan sejak kecil amat penting,” katanya.
Beliau berkata, tahap kesedaran rakyat mengenai pemeriksaan berkala masih rendah apabila ada yang hanya melakukannya sekali dalam tempoh lima hingga 10 tahun sedangkan individu berusia 30 tahun ke atas disarankan membuat pemeriksaan asas setiap tahun.
Dr Azmee berkata, golongan muda kini turut berisiko akibat obesiti, kurang bersenam dan pemakanan tidak sihat, malah ada kes serangan jantung seawal usia 20-an.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari dilaporkan berkata, penyakit jantung iskemik menyumbang 15.1 peratus kematian pada 2024 dan menjadi punca utama kematian individu berusia 41 hingga 59 tahun selain dipengaruhi faktor diabetes, hipertensi, kolesterol, obesiti, merokok dan gaya hidup tidak aktif.
Ketika berucap pada program Hari Jantung Sedunia, semalam, beliau berkata, trend ini membimbangkan kerana bukan hanya menjejaskan kesihatan tetapi juga memberikan impak kepada ekonomi negara.