IJN anjur program kesedaran Hari Jantung Sedunia 2025 di The Curve
Kuala Lumpur – Institut Jantung Negara (IJN) menganjurkan satu program kemasyarakatan bersempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 disamping menawarkan pemeriksaan berkaitan kesihatan jantung kepada orang ramai.
Acara ini berlangsung dari 24 hingga 28 September di The Curve, Mutiara Damansara, dengan tema “It’s Not Just a Game, It’s About Your Heart!”

Objektif utama program ini adalah untuk menekankan kepentingan pencegahan awal penyakit jantung melalui pemeriksaan asas, aktiviti demonstrasi dan senaman yang mesra semua peringkat umur.
Antara saringan yang ditawarkan antaranya, Electrocardiogram (ECG), Echocardiogram (ECHO), pemeriksaan berat badan (BMI), ujian kolesterol dan pelbagai lagi.
Pakar daripada IJN akan membantu menganalisis keputusan pemeriksaan serta memberi nasihat lanjut berkaitan kesihatan jantung.
Dato’ Akmal Arief Mohamed Fauzi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN berkata, acara ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, tetapi juga memperkenalkan peranan luas IJN dalam bidang kardiologi.
Beliau menyatakan bahawa penyakit jantung masih menjadi salah satu punca utama kematian di Malaysia, dan program seperti ini membolehkan orang ramai menjalani pemeriksaan asas dengan mudah.

“Lebih 1,000 pengunjung telah menghadiri program inj, dan kami meletakkan harapan agar jumlah pengunjung meningkat menjelang hujung minggu.
“Masyarakat perlu menjadikan penjagaan kesihatan sebagai rutin pada masa ini, saya juga berharap IJN terus berkembang sebagai pusat kardiovaskular unggul di rantau ini melalui penggunaan rawatan dengan teknik terkini demi manfaat pesakit dan masyarakat umum” jelasnya.
Selain pemeriksaan, pengunjung juga dijemput menyertai pelbagai aktiviti kesihatan dan hiburan seperti demonstrasi CPR (Resusitasi Jantung Paru), cabaran kecergasan seperti K-Pop Zumba dan Red Light Green Light, dan pertandingan memasak.
Reka bentuk aktiviti ini bertujuan menarik penyertaan keluarga agar suasana ceria sambil menyampaikan mesej penting berkaitan penjagaan jantung.

Program ini juga mendapat sokongan daripada beberapa organisasi dan syarikat antaranya, Libroff, Blackmores, Nestlé Omega Plus, Kitchen Shop, Viatris, Mamee, Ogawa, HHH.MY Fat Bike Specialist dan Adabi.
Mereka turut mempromosikan produk mesra jantung dan menawarkan promosi istimewa sepanjang acara berlangsung.
Orang ramai dijemput hadir dan menggunakan peluang saringan kesihatan ini sebagai langkah awal mencegah penyakit jantung. Masuk adalah percuma.
See Article





