IJN Serah 2 Bilik Rawatan Yang Di Naik Taraf Kepada SK Keruak Sebagai Sokongan Kesihatan Masyarakat Melalui Program Kampung Angkat Madani
Jerteh, Terengganu, 2 November – Institut Jantung Negara (IJN) meneruskan komitmen tanggungjawab sosialnya melalui penyerahan dua bilik rawatan sekolah (sick bay) yang dinaik taraf di Sekolah Kebangsaan Keruak, Jerteh, Terengganu.
Penyerahan ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Dato’ Akmal Arief Mohd Fauzi, dalam majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican serta Puan Zainab Ahmad, Pengetua Sekolah Kebangsaan Keruak bersempena dengan Program Karnival Kampung Angkat Madani Kementerian Kewangan Malaysia.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) IJN, “Catch ’em Young,” yang bertujuan memperkenalkan pelajar sekolah kepada kerjaya dalam bidang kesihatan serta menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar. Sekolah Kebangsaan Keruak adalah sekolah kedua yang menerima manfaat program ini pada tahun 2024. Sebelum ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah (SMKSAS) di Cameron Highlands menjadi lokasi pertama di mana IJN menyerahkan bilik rawatan yang dinaik taraf pada bulan Julai yang lalu.
Melalui program “Catch ’em Young,” IJN berharap dapat membina asas kesedaran awal mengenai kesihatan jantung dan kerjaya dalam bidang perubatan di kalangan pelajar sekolah, khususnya di kawasan luar bandar. IJN merancang untuk memperluas program ini ke lebih banyak sekolah di seluruh negara, dengan harapan dapat mencapai lebih ramai generasi muda dan mendekatkan mereka kepada kepentingan penjagaan kesihatan.
Naik taraf bilik rawatan di SK Keruak ini bertujuan untuk menyediakan persekitaran yang lebih profesional dan kondusif, menyerupai suasana hospital bagi memudahkan pelajar dan kakitangan sekolah dalam mendapatkan rawatan asas. Projek ini dimulakan pada 25 Oktober 2024, dengan penglibatan 12 kakitangan IJN bagi memastikan setiap aspek naik taraf memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan oleh IJN.
Selain itu, sebagai sebahagian daripada usaha mendorong gaya hidup sihat di kalangan pelajar, IJN juga telah membina gelanggang bola tampar baharu dan menaja jersi untuk pasukan bola tampar sekolah. Mural-mural motivasi turut dihasilkan di sekitar kawasan sekolah sebagai inspirasi untuk pelajar mengejar impian dan mengembangkan potensi mereka.
For media enquiries, please contact:
Corporate Communication
📞Tel:
+603-2600 6316
/
+603-2600 6308
/
+603-2600 3646
📧Email:
ccd@ijn.com.my





