HAWANA 2025


Nur Fatiha Azureen berkata IJN kini menawarkan pelbagai kemudahan rawatan dan teknologi kardiologi terkini termasuk Pusat Serangan Jantung 24 jam, serta kepakaran dalam subbidang seperti kardiologi intervensi, pembedahan jantung dan rawatan jantung pediatrik.

 

“Melalui penyertaan ini, kami berharap warga media lebih peka terhadap kesihatan jantung masing-masing dan seterusnya menjadi agen penyampai maklumat kesihatan kepada komuniti mereka,” katanya.

 

Sementara itu, seorang pengunjung reruai IJN P. Selvarani, 59, memuji inisiatif menyediakan saringan jantung percuma buat warga media sempena Majlis Kemuncak HAWANA 2025, yang disifatkannya sebagai langkah menghargai pengamal media yang sering kali terlepas pandang dalam aspek kesihatan diri. Pensyarah sebuah universiti awam itu berkata pengalaman menyertai majlis kemuncak itu, memberikan perspektif baharu yang berguna untuk dikongsikan semula kepada pelajarnya, khususnya berkaitan cabaran yang dihadapi petugas media termasuk berkaitan tekanan kerja dan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

 

“Saya sangat menghargai usaha IJN dan Bernama kerana bukan sahaja menyediakan pemeriksaan kesihatan, tetapi juga menjadikan warga media sebagai fokus utama. Ini satu bentuk penghargaan terhadap jasa mereka yang tidak ternilai,” katanya.

 

Seorang lagi pengunjung reruai IJN Rosidayu Sabran, 57, pula berkata saringan kesihatan asas yang ditawarkan IJN sempena sambutan kemuncak HAWANA 2025, disifatkan sebagai langkah berkesan mencetuskan kesedaran awal terhadap penyakit jantung dalam kalangan masyarakat. Beliau berkata inisiatif itu, member peluang kepada orang ramai yang sibuk untuk mendapatkan gambaran awal tahap kesihatan mereka melalui pemeriksaan ringkas, yang boleh menjadi indikator awal sebelum mendapatkan rawatan susulan di hospital jika perlu. Sambutan HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana, bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara. Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.

See Article