KUALA LUMPUR: Pencegahan awal merupakan langkah utama bagi mengelak penyakit jantung, dengan kesedaran tinggi masyarakat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Akmal Arief Mohamed Fauz berkata, meskipun ramai menyedari kepentingan gaya hidup sihat, cabaran utama adalah mengamalkannya secara konsisten.

 

Beliau menegaskan, kesedaran, pendidikan dan sokongan komuniti amat penting dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat penyakit kardiovaskular yang masih menjadi pembunuh utama di Malaysia dan Asia Tenggara.

 

“Sebagai institusi yang berkait rapat dengan jantung, peranan IJN bukan sekadar menyediakan rawatan terbaik, malah menawarkan pendidikan serta langkah pencegahan awal,” katanya sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 di The Curve, Mutiara Damansara.

 

Program lima hari itu bermula 24 September lalu dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung, disokong rakan strategik seperti Blackmores, Nestle Omega Plus, Ogawa dan Mamee.

Bagi meningkatkan kesedaran, IJN menawarkan pemeriksaan jantung percuma termasuk Electrocardiogram (ECG) dan Echocardiogram (ECHO) dengan bimbingan pakar. Pengunjung turut berpeluang mengikuti demonstrasi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR), cabaran kecergasan, zumba, permainan Red Light Green Light serta pertandingan memasak sihat melalui Wholesome Meal Challenge.

 

Akmal Arief berkata, tabiat merokok, diet tidak seimbang dan kurang aktiviti fizikal memerlukan usaha berterusan bagi membawa perubahan yang konsisten.

Menurutnya, IJN turut menyediakan klinik berhenti merokok dan program pemakanan sihat sebagai sebahagian daripada inisiatif membantu masyarakat memulakan perubahan gaya hidup.

 

“Kerajaan juga memperkenalkan larangan merokok di tempat awam selain melaksanakan pelbagai kempen kesihatan, namun ia memerlukan masa dan sokongan semua pihak.

 

“Masyarakat wajar mengambil peluang menghadiri program seperti Hari Jantung Sedunia, bukan sekadar untuk hiburan, tetapi sebagai langkah awal ke arah gaya hidup lebih sihat. Kita perlu menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai kebiasaan, kerana sedikit usaha mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Read Full Article