Kolej IJN dinaik taraf jadi Kolej Universiti IJN
KUALA LUMPUR: Kolej Institut Jantung Negara (IJN) atau IJN College kini dinaik taraf menjadi Kolej Universiti IJN atau singkatannya (IJNUC), selepas mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 13 Mei lalu. Perkara itu dimaklumkan syarikat induk yang memiliki dan menguruskan pusat perubatan jantung terkemuka di Malaysia, IJN Holdings Sdn Bhd (IJN Holdings), semalam.
IJN Holdings dalam kenyataan berkata, IJNUC ditubuhkan bagi memenuhi keperluan negara terhadap pendidikan kesihatan khusus yang semakin meningkat. Sebagai sebahagian daripada kumpulan IJN Holdings bersama IJN, institusi ini menawarkan latihan praktikal kepada pelajar yang dibimbing oleh pakar perubatan dan profesional penjagaan kesihatan berpengalaman.
“Peningkatan status ini mengukuhkan kedudukan IJNUC sebagai pusat pengajian tinggi dalam bidang sains kardiovaskular, kesihatan termasuk pengurusan penjagaan kesihatan.
“Ia adalah pencapaian penting dalam pertumbuhan institusi berkenaan serta membuktikan kesediaannya melatih generasi baru profesional kesihatan negara,” katanya.
Menurut IJN Holdings, program utama IJNUC, iaitu Sijil Siswazah dalam Sains Kardiovaskular dan Torasik berjaya melahirkan lebih 400 graduan yang kini berkhidmat di sektor kesihatan dalam dan luar negara.
“Sejak penubuhannya, lebih 600 profesional menamatkan pengajian di institusi ini, mencerminkan kecemerlangan akademik serta kepentingannya dalam industri.
“Kini, IJNUC menawarkan pelbagai program diploma dan lanjutan termasuk Diploma Lanjutan Kejururawatan Jantung; Diploma Lanjutan Kecemasan Kardiak; dan Diploma dalam Sains Perubatan dan Kesihatan.
“Selain itu, program diploma Farmasi, Fisioterapi, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pengurusan Penjagaan Kesihatan, Psikologi, dan Pengurusan Sumber Manusia; Program Pascasiswazah Kawalan Jangkitan dan Dialisis Buah Pinggang; dan Asasi Sains dan Seni.
Dengan status baharu diterima, IJN Holdings berkata IJNUC turut menerima kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menawarkan program ijazah termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular (Kepujian); Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan (Kepujian) selain Diploma Kejururawatan.
“Pengambilan ketiga program ini dijadualkan bermula pada September 2025 dan IJNUC bersedia menerima pelajar di kampusnya di Yayasan Selangor, terletak berhampiran Hospital IJN di Kuala Lumpur.
“Sebagai sebahagian daripada pelan akademik masa hadapan, IJNUC turut merancang pengembangan program di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah, termasuk Ijazah Sarjana Muda Teknologi Farmaseutikal; Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Francais) dan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi.
“Selain itu, Ijazah Sarjana Pembedahan Kardiotorasik;Ijazah Sarjana Psikologi Kesihatan; Ijazah Sarjana Pengurusan Penjagaan Kesihatan dan Ijazah Kedoktoran (PhD) Pengurusan Penjagaan Kesihatan,” katanya.
Selaras dengan kekuatan klinikalnya, IJNUC juga sedang membangunkan program pascasiswazah perubatan dalam bidang pembedahan kardiotorasik, kardiologi, kardiologi pediatrik, dan anestesiologi, memperkukuh peranannya sebagai pusat latihan pakar perubatan masa depan negara. Di samping itu, IJNUC turut menawarkan kursus pendek, pensijilan dan perkhidmatan rundingan yang disesuaikan untuk pembangunan profesional dalam kalangan pengamal kesihatan. Ia termasuk Sijil Pembantu Penjagaan Pesakit; Sijil Profesional Kejururawatan Jantung; Bengkel Mekanik Tubuh dan Ergonomik; Sokongan Hidup Kardiovaskular Lanjutan (ACLS) dan Sokongan Hidup Asas (BLS).
Read More Articles
🔗 IJN menarik pasien internasional cari rawatan kelas dunia
🔗 Malaysia’s first paediatric LVAD successfully performed
🔗 Sultan of Brunei impressed with IJN doctors: PM
🔗 Sultan Brunei puji perkhidmatan, kepakaran IJN – Anwar
🔗 IJN becomes first in Southeast Asia to implant dual-chamber leadless pacemaker